Friday, April 10, 2009


KEMUNCULAN mereka dalam industri hiburan masih baru dan ramai yang tidak mengenali mereka. Namun, bakat besar mereka bermain alat muzik pasti menarik perhatian ramai untuk melihat sejauh manakah kemampuan mereka mengendalikan alat muzik. Mampukah mereka pergi jauh dalam industri ini?

Butterfly dianggotai enam remaja, terdiri daripada Adda (vokal), Cna (gitar), Helda Pily (gitar), Biz (bes), Cla (keyboard) dan Adha (dram) mengakui minat begitu mendalam pada muzik walaupun usia masih muda. Kesungguhan dan minat adalah pokok utama untuk berjaya dan mesti bersungguh-sungguh. Mereka yang dibimbing Rody daripada kumpulan Kristal begitu teruja diberi peluang merakamkan album.

Sebelum ini, mereka lebih terdedah dengan persembahan pada majlis keramaian selain menunjukkan kehebatan di beberapa institusi pengajian tinggi. Mereka juga pernah menyertai beberapa pertandingan Battle of the Band. Dua buah single mereka, Benci dan Angkasawan berkumandang menerusi corong radio, terutamanya di radio RTM.



Rody selaku pengasas kumpulan ini mengakui, bukan mudah memberi ruang kepada artis baru berkumpulan menapak dalam industri muzik dalam suasana industri yang kurang membrangsangkan. Namun, dia yakin identiti yang dicipta untuk Butterfly dapat menaikkan nama mereka sebaris dengan artis kumpulan popular sedia ada. Tambah pula sekarang tidak banyak artis berkumpulan wanita yang ada.

“Saya lihat minat mereka begitu mendalam pada muzik, membuatkan saya yakin untuk membimbing dan menaikkan nama mereka sebaris artis kumpulan sedia ada. Lagipun, sekarang ni tak banyak artis berkumpulan wanita. Diharapkan kemunculan Butterfly dalam industri kita akan diterima semua.

“Mereka masih muda, dan saya ingin sekali memberi peluang kepada mereka menunjukkan kebolehan masing-masing. Selain menyanyi, mereka juga pandai bermain alat muzik. Paling penting, mereka tidak meniru mana-mana artis kumpulan wanita lain yang ada di Malaysia,” katanya.

Album Butterfly berkonsep rock moden, berada di pasaran tidak lama lagi dan diedar Music Valley (M) Sdn Bhd.


No comments:

Post a Comment